Tular satu klip audio yang didakwa suara Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali meluahkan kerisauan beliau terhadap kepimpinan Presiden PAS, YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.
Audio yang tular di media sosial sejak semalam itu berdurasi kira-kira satu minit dan turut disiarkan di saluran youtube, MH Online Media.
Dr Khairuddin yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat menyuarakan, Abdul Hadi sebagai seorang pemimpin yang tidak tetap pendirian.
Menurut rakaman audio berkenaan, Dr Khairuddin berkata, Abdul Hadi percaya Perikatan Nasional (PN) lebih berpengaruh berbanding Barisan Nasional (BN).
"Tok Guru (Abdul Hadi) ni dia pegang pada pandangan ‘survey’ menunjukkan PN naik, BN turun.
“Tapi, dia (Abdul Hadi) kata kita (PAS) kena raikan juga UMNO masih ada akar umbi. Ayat tu Tok Guru ulang sokmo ayat tu. Ulang pada ungkapan, tapi pada praktikalnya … tak tunjuk. Tak jadi … jadi, kita susah hati sokmo.
“Sebab tu ana (saya) baru ni panggil Tok Guru pergi ke Kenyir, team ana lah. Sengaja paksa suruh dengar ni, taklimat kita bagi.
“Ini kerusi PAS, ni kerusi UMNO, ni kerusi Bersatu. Nak menang syaratnya begini, tambah kerusi. Tok Guru dengar tu, puas hati dah. Dia (Tok Guru) kata, kalau begitu kita (PAS) kena kekal.
“Dan untuk kita (PAS) dapat 23 kerusi, 23 parlimen lah.
“Semangat sekejap, lepas tu dia kendur balik, berubah sokmo Tok Guru,” katanya yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Sebelum ini, PAS membentuk kerjasama dengan UMNO yang dikenali sebagai Muafakat Nasional, namun pakatan itu kini dilihat semakin goyah.
Hubungan kedua-dua parti itu dikatakan mempunyai masalah apabila UMNO menarik sokongan terhadap Bersatu dalam PN, manakala PAS kekal menyokong Bersatu.
Post a Comment