Sudah lebih dua minggu ADUN Kijal, YB Dato’ Seri Ahmad Said membuat pendedahan mengenai kewujudan salah laku dalam pentadbiran Kerajaan Terengganu semasa sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri ke-14, pada 14 September lalu.
Ia berkaitan projek usaha sama pengeluaran pelitup muka oleh anak syarikat Yayasan Terengganu, Sterling Hectares Sdn Bhd dan Hygenia Sdn Bhd di Seri Kembangan, Selangor.
Jumlah pelaburan Sterling Hectares adalah sebanyak RM4,538,831 yang mewakili 49 peratus.
Dalam perhasan itu, Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu mendakwa, Sterling Hectares membuat bayaran pertama kepada akaun Hygenia pada 11 Jun 2020 sebanyak RM2,398,754.
“Malangnya, pada 19 Jun 2020, Ahad Khan (Pengarah Hygenia) telah memindahkan wang sebanyak RM1.7 juta ke dalam akaun peribadi beliau.
“Yang kedua pada 28 Julai 2020, Sterling Hectares telah memasukkan wang ke dalam akaun Hygenia sebanyak RM2,210,077. Pada hari yang sama, 28 Julai 2020, Ahad Khan telah membuat pemindahan wang ke akaun peribadi beliau sebanyak RM2 juta,” katanya.
Bekas Menteri Besar Terengganu itu mencadangkan agar pihak Kerajaan Terengganu membuat laporan polis terhadap Abdul Ahad Khan.
Menurut Ahmad, sebanyak RM3.7 juta telah dipindahkan ke akaun peribadi Abdul Ahad Khan.
Namun, selepas dua minggu perkara itu dibangkitkan, masih tiada jawapan daripada pihak kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Pengerusi Yayasan Terengganu.
Sampai bila Ahmad Samsuri mahu membisu?
Post a Comment