Enam YB Boleh Jawab Ke Mana ‘Money Trail’ RM3.7 Juta Yayasan Terengganu

Pendedahan ADUN Kijal, YB Dato’ Seri Ahmad Said mengenai kewujudan salah laku dalam pentadbiran Kerajaan Terengganu semasa sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri ke-14, bulan lalu masih belum terjawab. 

Ia berkaitan projek usaha sama pengeluaran pelitup muka oleh anak syarikat Yayasan Terengganu, Sterling Hectares Sdn Bhd dan Hygenia Sdn Bhd di Seri Kembangan, Selangor.

Jumlah pelaburan Sterling Hectares adalah sebanyak RM4, 538,831 yang mewakili 49 peratus.

Dalam perbahasan itu, Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu mendakwa, Sterling Hectares membuat bayaran pertama kepada akaun Hygenia pada 11 Jun 2020 sebanyak RM2,398,754.

“Malangnya, pada 19 Jun 2020, Ahad Khan (Pengarah Hygenia) telah memindahkan wang sebanyak RM1.7 juta ke dalam akaun peribadi beliau. 

“Yang kedua pada 28 Julai 2020, Sterling Hectares telah memasukkan wang ke dalam akaun Hygenia sebanyak RM2, 210,077. Pada hari yang sama, Ahad Khan telah membuat pemindahan wang ke akaun peribadi beliau sebanyak RM2 juta,” katanya. 

Bekas Menteri Besar Terengganu itu turut mencadangkan agar pihak Kerajaan Terengganu membuat laporan polis terhadap Abdul Ahad Khan.

Menurut Ahmad, sebanyak RM3.7 juta telah dipindahkan ke akaun peribadi Abdul Ahad Khan.

Selepas ia dibangkitkan, masih tiada jawapan daripada pihak kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Pengerusi Yayasan Terengganu. 

Namun, terdapat enam orang YB mungkin boleh memberikan jawapan tentang ke mana ‘money trail’ (jejak wang) berjumlah RM3.7 juta itu berdasarkan kedudukan mereka dalam Yayasan Terengganu. 

Pertama, YB Ustaz Satiful Bahari Mamat selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu merangkap Ahli Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Paka. 

Kedua, YB Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Yayasan Terengganu merangkap Ahli Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Ladang. 

Ketiga, YB Dr Mamad Puteh selaku Ahli Jawatankuasa Pelaburan Yayasan Terengganu merangkap Ahli Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Kuala Berang. 

Keempat, YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi selaku Ahli Jawatankuasa Pelaburan Yayasan Terengganu merangkap ADUN Batu Burok. 

Kelima, YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah selaku Ahli Jawatankuasa Kewangan Yayasan Terengganu merangkap Ahli Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Wakaf Mempelam. 

Keenam, YB Ustaz Ahmad Shah Muhamed selaku Pengerusi Sterling Hectares Sdn Bhd merangkap ADUN Bandar.

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post