Proton X70: Satiful Bahari, Hishamuddin Cabar ADUN Kijal Lapor SPRM

ADUN Kijal, YB Dato’ Seri Ahmad Said dicabar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan beliau mengenai wujud salah laku dalam pentadbiran kerajaan negeri Terengganu.

Dakwaan itu dibuat semasa Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14 baru-baru ini. 

ADUN Tepoh, YB Hishamuddin Abdul Karim berkata, “banyak perkara yang telah diberitahu oleh ADUN Kijal tadi, kalaulah dikatakan ia sebagai salah laku anggota pentadbiran kerajaan, adakah perkara itu sudah berada dalam pengetahuan SPRM. 

“Pada pandangan saya, jika ada bukti, serah kepada SPRM, biarkan mereka menyiasat dan membuktikan, kita (kerajaan negeri) sangat terbuka dalam hal ini,” tegas Hishamuddin menjawab dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu. 

Sementara itu, ADUN Paka yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, YB Satiful Bahari Mamat berkata, persidangan DUN bukan mahkamah untuk menyiasat, menangkap dan menjatuhkan hukuman kepada pesalah jika terbukti bersalah.

"Jika ada bukti bawa ke SPRM, persidangan DUN bukan mahkamah, bukan tempat untuk bincang dan buat keputusan mengenai isu terbabit, ia melibatkan tuduhan dan memerlukan siasatan, jadi tak sewajarnya dibincangkan di sini,” jelasnya. 

Ahmad sebelum itu mendedahkan, beliau mempunyai bukti bagaimana ADUN Ladang, YB Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri mendapat kepentingan daripada projek usaha sama pengeluaran pelitup muka bernilai kira-kira RM9 juta oleh anak syarikat Yayasan Terengganu, Sterling Hectares Sdn Bhd dan Hygenia Sdn Bhd di Seri Kembangan, Selangor. 

“Saya ada bukti bagaimana ADUN Ladang mendapat kepentingan. Kes (Proton) X70 (Nombor Plat) TBJ 8228 ….,” dedah Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu. 

Bagaimanapun, pendedahan itu terhenti apabila perbahasan itu diganggu oleh Hishamuddin dan Satiful Bahari serta dihalang Speaker DUN, YB Dato’ Yahaya Ali. 

Ahmad berkata, peringkat awal nilai pelaburan adalah sebanyak RM2 juta melibatkan kepentingan Sterling Hactares sebanyak 49% dan selebihnya 51% milik Hygenia. 

Tambah beliau, Tengku Hassan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Yayasan Terengganu kemudiannya telah berjaya mendapat persetujuan daripada Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Pengerusi Yayasan Terengganu untuk menambah pelaburan itu kepada RM4.5 juta. 

“Saya dapati jumlah pelaburan Sterling Hectares ke dalam Hygenia adalah sebanyak RM4,538,831 mewakili 49% pelaburan. 

“Saya lihat banyak perkara yang tidak seharusnya berlaku dalam pelaburan ini kerana banyak ‘benda-benda pelik’.

“Yang pertama, Sterling Hectares membuat bayaran pertama kepada akaun Hygenia pada 11 Jun 2020 sebanyak RM2,398,754.

“Malangnya, pada 19 Jun 2020, Ahad Khan (Pengarah Hygenia Sdn Bhd) telah memindahkan wang sebanyak RM1.7 juta ke dalam akaun peribadi beliau. 

“Yang kedua pada 28 Julai 2020, Sterling Hectares telah memasukkan wang ke dalam akaun Hygenia sebanyak RM2,210,077. Malangnya, pada hari yang sama, 28 Julai 2020, Ahad Khan telah membuat pemindahan wang ke akaun peribadi beliau sebanyak RM2 juta. 

Sehingga Mac 2021 kata Ahmad, pihak Yayasan Terengganu dan Sterling Hectares tidak menerima apa-apa status pelaburan walaupun surat bertarikh 15 Februari 2021 telah dihantar kepada Hygenia bagi mendapatkan maklumat mengenai perkara itu. 

“Banyak barang-barang tidak dibayar sehingga meninggalkan hutang sebanyak RM181,000. 

Dalam perbahasan itu, Ahmad mencadangkan agar pihak Yayasan Terengganu membuat laporan polis terhadap Abdul Ahad Khan.

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post