Apa Yang Telah Berjaya 'Ditarik' Oleh YB Ariffin Dari Turki Ke Terengganu?

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, YB Ariffin Deraman pada 16 Disember 2018 memuat naik status dalam akaun facebook miliknya dengan menulis, “Perjumpaan bersama wakil UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin) bagi membincangkan untuk menarik pelancong dari Turki”. 

Wakil UniSZA yang dimaksudkan ialah Dr Mutia Sobihah Abd Halim dan perjumpaan itu berlangsung di Wisma Darul Iman. 

Berkuatkuasa 1 Mei 2021, Dr Mutia dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri. 

Selepas lebih dua tahun usaha itu direncanakan, apa yang telah berjaya ‘ditarik’ oleh YB Ariffin dari Turki ke Terengganu? 

1. Tubuh syarikat nama Turki, Ertugrul Empire

‘Ertugrul’ ialah satu istilah daripada Bahasa Turki. Semakan data daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Ertugrul Empire didaftarkan pada 2 Oktober 2019 dan dimiliki oleh dua individu iaitu anak lelaki YB Ariffin berusia 24 tahun dan anak perempuan Dr Mutia berusia 21 tahun. 

2. Import kopi dari Turki, Kafe Kahve

Menurut hantaran yang dimuat naik di facebook Kafe Kahve, restoran itu mula beroperasi pada 1 Mei 2021. Dalam tempoh dua hari beroperasi, Kafe Kahve yang diusahakan anak YB Ariffin telah mendapat beberapa ‘projek’ daripada kerajaan negeri. Antaranya ialah Majlis Berbuka Puasa Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat Negeri pada 6 Mei, Majlis Moreh Santai Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Alur Limbat pada 7 Mei, Majlis Berbuka Puasa Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada 9 Mei dan Majlis Berbuka Puasa Jabatan Pelancongan Negeri pada 10 Mei. Apakah ‘conflict of interest’ dalam perkara ini? 

3. Homestay mewah nama Turki, Ertugrul Residence

Ertugrul Residence beroperasi di sebuah pangsapuri mewah, Icon Residence. Homestay yang berharga sekitar RM500 ribu seunit itu diuruskan oleh anak YB Ariffin yang juga pemilik syarikat Ertugrul Empire. YB Ariffin dan keluarga mempunyai berapa unit pangsapuri Jenis A dan Jenis B di Icon Residence? 

4. Tepung gandum dari Turki, Ertugrul 

Tepung gandum dari Turki jenama ‘Ertugrul’ dibungkus dan diedarkan oleh syarikat Ertugrul Empire. 

Terengganu Report secara tidak langsung telah memberi sedikit ‘free marketing’ kepada syarikat Ertugrul Empire untuk terus maju dalam perniagaan. 

Namun, jawatan ‘EXCO’ bersama gaji dan elaun yang dipegang oleh YB Ariffin menjadi sebab untuk beliau bekerja untuk negeri, bukan untuk dirinya dan keluarganya. 

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post