Siapa Ahli Exco Terengganu Terima ‘Hadiah’ Proton X70?

Seorang ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Terengganu dipercayai menerima ‘hadiah’ sebuah kereta Proton X70 bernilai kira-kira RM120,000 daripada pengarah sebuah syarikat pengeluaran pelitup muka. 

Menurut sumber, syarikat yang didaftarkan pada 4 Mei 2020 itu diterajui warga Bangladesh dan beroperasi di Seri Kembangan, Selangor. 

Syarikat itu terlibat dalam satu pelaburan bersama sebuah yayasan milik kerajaan negeri membabitkan projek pelitup muka bernilai kira-kira RM9 juta, tahun lalu. 

Manakala ahli Exco berkenaan merupakan Pengerusi sebuah jawatankuasa berkaitan pelaburan di yayasan itu. 

Pada Mac lalu, media melaporkan Pengarah yayasan itu direman tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek tersebut. 

Ahli Exco tersebut telah disiasat oleh SPRM, kata sumber berkenaan.  

Turut disiasat, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga Pengerusi kepada sebuah anak syarikat yayasan itu. 

Sebagai Pengerusi syarikat, ADUN tersebut telah membuat lawatan kerja ke kilang pengeluaran pelitup muka di Seri Kembangan, Selangor pada 3 Julai 2020 bersama pengarah yayasan itu. 

Dalam usahasama berkenaan, yayasan milik kerajaan negeri itu memiliki pegangan pelaburan sebanyak 49%, selebihnya dikuasai syarikat itu sebanyak 51%. 

Selain kereta Proton X70, pengarah syarikat itu dipercayai turut ‘menghadiahkan’ wang tunai, berlian dan komputer riba kepada beberapa pihak yang berkaitan.

Post a Comment

0 Comments