Ahli Parlimen Kuala Terengganu, YB Ahmad Amzad Hashim menafikan berlakunya pergeseran antara Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Istana Terengganu seperti yang dilaporkan The Malaysian Insight.
Turut melaporkan perkara yang sama hari ini, Malaysia Dateline.
“Pentadbiran YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berjalan dengan baik dan tiada sebarang masalah seperti didakwa.
“Berita yang dilaporkan mengandungi cerita yang tidak betul, mereka-reka cerita yang tidak pernah berlaku,” katanya dalam satu kenyataan ringkas menerusi facebooknya, Ahmad Amzad Hashim, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, beliau menolak sepenuhnya kandungan berita yang cuba mengaitkan dirinya sebagai ‘orang tengah’ yang cuba meredakan ketegangan antara Ahmad Samsuri dengan Istana Terengganu.
The Malaysian Insight melaporkan, isu melibatkan Ahmad Samsuri kini genting sehingga istana hampir menarik balik gelaran Dato’ Seri yang disandang menteri besar itu.
Sementara itu, Malaysia Dateline melaporkan, wujud usaha pimpinan lain dalam PAS untuk mengambil alih tempat beliau sebagai Menteri Besar Terengganu.
“Satu borang ‘Surat Akuan Berkanun’ sudah disediakan untuk membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu menandatanganinya bagi menyatakan kesediaan mereka menolak Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai menteri besar,” lapor portal berkenaan.
Post a Comment