Kerajaan Terengganu dituntut agar membayar RM45 juta kepada syarikat POSC TI Sdn Bhd yang kini dalam pembubaran melalui Lim Tian Huat dari Rodgers Reidy & Co.
POSC TI merupakan syarikat yang pernah diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri untuk membangunkan semula projek Taman Ilmu di Mukim Tembila, Besut pada 17 Julai 2013.
Taman Ilmu mula dibina pada 2007 di tapak seluas 280 hektar dan projek itu terbengkalai.
Dalam satu surat bertarikh 5 Oktober 2020 kepada Kerajaan Negeri Terengganu, Lim Tian Huat memaklumkan beliau telah dilantik sebagai Pembubar bagi POSC TI berdasarkan Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 22 April 2019.
Menurut surat itu, POSC TI bersama kerajaan negeri dan Pentadbir Tanah Besut telah merekodkan satu Perintah Persetujuan bertarikh 1 Disember 2016 berdasarkan terma-terma berikut:
1. POSC TI bersetuju menerima bayaran RM45 juta sebagai penyelesaian penuh.
2. Kerajaan negeri bersetuju mengeluarkan letter of intent (LOI) kepada 17 kontraktor tertakluk kepada terma-terma yang akan dipersetujui antara kerajaan negeri dan kontraktor-kontraktor berkenaan.
3. Notis penamatan bertarikh 30 Jun 2015 adalah sah dan berkuatkuasa.
4. POSC TI, kerajaan negeri dan Pentadbir Tanah Besut bersetuju menarik balik tuntutan belas masing-masing tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
Walaubagaimanapun kata Lim Tian Huat, sehingga kini POSC TI tidak menerima RM45 juta wang penyelesaian penuh daripada Kerajaan Terengganu.
“Oleh yang demikian, saya selaku Pembubar Syarikat menuntut bayaran RM45 juta wang penyelesaian penuh bersadarkan Perintah Persetujuan daripada kerajaan negeri dalam masa 14 hari daripada tarikh surat ini.
“Kegagalan pihak kerajaan negeri memuaskan tuntutan ini dalam tempoh yang ditetapkan, pihak Pembubar akan memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri dan Pentadbir Tanah Besut,” ujar Lim Tian Huat dalam surat itu.
Post a Comment