PRU15: PAS Tanding 26 Parlimen?


Naib Presiden PAS, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau telah diberi mandat oleh PAS Pusat sebagai ‘ketua perunding’ bagi pihak parti itu dalam urusan pengagihan kerusi bersama parti-parti dalam Perikatan Nasional pada PRU ke-15.

Perkara itu dinyatakan dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Dungun Kali ke-61 di SRI Darul Bayan Paka, Dungun, semalam.

Beliau turut memberitahu, PAS akan mempertahankan 6 daripada 8 kerusi parlimen di Terengganu yang dimenangi parti itu pada PRU ke-14.

Kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Terengganu itu bertepatan dengan prinsip pengagihan kerusi yang dinyatakan oleh Muafakat Nasional sebelum ini iaitu, ‘parti yang menang di mana-mana kerusi pada PRU ke-14 akan diberi hak untuk bertanding semula pada PRU ke-15’.

Prinsip kedua, ‘bagi kerusi yang dimenangi oleh PH pada PRU ke-14, parti yang mendapat undi tertinggi antara PAS dan UMNO akan diberi keutamaan untuk bertanding pada PRU ke-15’.

Selepas tertubuhnya Perikatan Nasional, BERSATU mungkin memasuki gelanggang PRU ke-15 dengan mempertahankan kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU ke-14.

PAS wajar diberi keutamaan untuk mempertahankan 18 kerusi parlimen yang dimenangi parti itu pada PRU ke-14 di tiga negeri iaitu Kedah (3), Kelantan (9) dan Terengganu (6).

18 kerusi berkenaan ialah Pendang, Jerai, Sik di Kedah; Tumpat, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kubang Kerian, Bachok, Pasir Putih, Kuala Krai di Kelantan dan Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman di Terengganu.

Ini bermakna, nama-nama besar dalam UMNO seperti Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki (Pasir Putih), Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom (Jerai) dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, YB Dato’ Seri Ahmad Said (Kemaman) perlu mengintai kerusi-kerusi yang lain jika mempunyai hasrat untuk bertanding di Parlimen.

Bagi kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan pada PRU ke-14, calon PAS mempunyai kelebihan undi berbanding calon Barisan Nasional di 8 kerusi Parlimen.

Jika prinsip kedua dalam soal pengagihan kerusi diambil kira, PAS mempunyai tambahan 8 lagi kerusi Parlimen di 3 negeri iaitu Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah dan Padang Serai di Kedah; satu kerusi iaitu Kuantan di Pahang dan 3 kerusi di Selangor iaitu Bangi, Kapar dan Sungai Buluh.

Di Kedah, PAS dilihat tiada masalah untuk menang atas tiket Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional di Pokok Sena dan Kuala Kedah, kawasan pengundi majoriti Melayu.

Di Alor Setar, PAS perlu berunding dengan MCA jika mahu bertanding di kerusi yang mempunyai komposisi 61% pengundi Melayu itu. Pada PRU ke-14, Alor Setar dimenangi calon PKR, YB Chan Min Kai dengan majoriti 15,200 undi.

Parlimen Padang Serai, PAS juga perlu berunding dengan MCA jika mahu bertanding di kerusi itu. Calon PKR, YB Karupaiya Mutusami menang di parlimen itu pada PRU ke-14 dengan majoriti 8,813 undi.

Bagi Parlimen Kuantan, PAS juga perlu berunding dengan MCA jika parti itu berminat di kerusi yang mempunyai komposisi 61% pengundi Melayu itu. Pada PRU ke-14, Kuantan dimenangi calon PKR, YB Fuziah Salleh yang kini Ketua Wanita PKR dengan majoriti lebih 8,000 undi.

Parlimen Bangi, Kapar dan Sungai Buloh di Selangor adalah 3 kerusi parlimen yang dimenangi PH sebelum ini, di mana jumlah undi yang diperolehi PAS lebih tinggi berbanding BN.

PAS perlu berunding dengan MIC untuk kerusi Kapar dan Sungai Buloh. Manakala, kerusi Bangi PAS perlu berbincang dengan MCA.

Pada PRU ke-14, DAP menang di Bangi dengan majoriti lebih 68 ribu undi; PKR menang di Kapar dan Sungai Buloh masing-masing dengan majoriti 16 ribu dan 26 ribu undi.

Dengan pengundi Melayu sekitar 50% di ketiga-tiga kawasan itu, PAS sekali lagi berdepan laluan sukar.

Mengambil kira ketegasan, kesungguhan dan prinsip yang diungkapkan oleh 'ketua perunding' PAS Pusat semasa mengumumkan parti itu akan bertanding 6 kerusi parlimen di Terengganu, PAS dilihat tidak mempunyai kelayakan untuk bertanding di kerusi parlimen di 7 negeri iaitu Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah serta Wilayah Persekutuan.

PAS telah mengumumkan untuk tidak meletakkan calon di Sarawak.

Nama-nama besar dalam PAS seperti Naib Presiden PAS, YB Senator Idris Ahmad; Ketua Pemuda PAS Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin; Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad; Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad dan AJK PAS Pusat seperti Dr Zuhdi Marzuki, Nasruddin Hassan dan Mokhtar Senik perlu mengintai kerusi-kerusi yang lain jika mempunyai hasrat untuk bertanding di Parlimen.

Dengan kerjasama erat dan persefahaman yang kukuh parti-parti politik dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional, PAS boleh menang dengan selesa di 18 kerusi parlimen yang telah dimenangi parti itu pada PRU ke-14 yang lalu.

PAS juga mempunyai peluang cerah untuk merampas Pokok Sena dan Kuala Kedah daripada PH.

Sekali lagi, mengambil kira ketegasan, kesungguhan dan prinsip yang diungkapkan oleh 'ketua perunding', PAS boleh menang mudah di 20 kawasan parlimen pada PRU ke-15.

Tahniah PAS, bertambah 2 kerusi!


Catatan Petang
Pulau Lang Tengah, Terengganu
19 Julai 2020

Post a Comment

0 Comments