Muafakat Nasional: Adakah PAS Maafkan Kezaliman UMNO Roboh Masjid Bujal?


Tarikh 26 Mei 2020 sepatutnya diadakan Sambutan Peringatan 15 Tahun Perobohan Masjid Bujal.

Sebelum ini, program anjuran PAS Kawasan Kemaman itu diadakan bagi memperingati kerakusan dan kezaliman Kerajaan Terengganu pimpinan UMNO yang didakwa PAS telah merobohkan sebuah masjid di Kampung Bujal, Kemaman pada 25 Mei 2005.

Naratif yang dibawa PAS Terengganu mengenai kerakusan dan tindakan anti Islam UMNO yang merobohkan Masjid Bujal telah diterima oleh sebahagian rakyat.

Selepas itu, PAS Terengganu meniupkan propaganda ‘Terengganu Darul Runtuh’ yang terjadi disebabkan kemurkaan Allah SWT akibat ‘keruntuhan’ Masjid Bujal.

Berbelas tahun lamanya, PAS Terengganu menjadikan ‘Masjid Bujal’ sebagai modal kecil di pentas-pentas ceramah yang akhirnya membawa pulangan yang besar iaitu DERMA!

Ia berakhir selepas UMNO tumbang di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Selepas PAS Terengganu berjaya memiliki tampuk pemerintahan kerajaan negeri, ‘harapan’ penduduk Kampung Bujal dibawa oleh ADUN Air Putih, YB Ab Razak Ibrahim yang bertanyakan tentang pembinaan semula Masjid Bujal.

Dalam jawapan bertulis Mesyuarat ke-2, Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 25 hingga 29 November 2018, kerajaan negeri berkata, “Buat masa sekarang tidak ada keperluan untuk dibina semula sebuah masjid baru di lokasi asal Masjid Bujal memandangkan masjid terdekat iaitu Masjid Kampung Payoh masih dapat menampung kapasiti jemaah untuk Solat Jumaat.” 

Itu jawapan bagi membayar harga sebuah perjuangan!

Siapa lulus pembinaan Masjid Bujal?

Persidangan DUN Terengganu pada 23 Ogos 2005, kerajaan negeri menjelaskan, struktur binaan yang belum siap dan didirikan di atas lot PT 3294 di RTB Bujal, bukanlah sebuah masjid.

Seksyen 80 hingga 89, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) Tahun 2001 telah memperincikan kenapa ‘Masjid Bujal’ tidak boleh diiktiraf sebagai sebuah masjid.

Enakmen ini digubal dan diluluskan tahun 2001 iaitu semasa PAS mentadbir kerajaan negeri. Antara faktanya, MAIDAM tidak pernah menerima permohonan dan cadangan atau MAIDAM tidak pernah meluluskan pembinaan sebuah masjid yang dinamakan ‘Masjid Bujal’, Seksyen 82 (1) dan tapak yang hendak didirikan ‘Masjid Bujal’ itu tidak dijadikan wakaf yang berkekalan melalui MAIDAM, Seksyen 82 (2).


Oleh kerana Lot PT 3294 di RTB Bujal itu milik kerajaan negeri, ia perlu diwartakan sebagai tanah rizab bagi tujuan membina masjid mengikut Seksyen 62, Kanun Tanah Negara.

Selain itu, penjelasan MAIDAM dipersendakan dan pandangan Mufti Terengganu ditolak.

Semua peraturan tidak dipedulikan oleh PAS Terengganu pada ketika itu. Malah, ADUN Bukit Payong, YB Mohd Nor Hamzah pada 12 April 2012 mempersoalkan pengetahuan Mufti Perak ketika itu, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkenaan fungsi masjid.

Yang penting bagi PAS, UMNO roboh masjid! UMNO lebih jahat daripada Yahudi!

Kenapa Bujal tiada masjid? 

Merujuk kembali persidangan DUN Terengganu pada 23 Ogos 2005, laporan menjelaskan penduduk Bujal hanyalah 28 orang. Daripada jumlah itu, yang boleh menunaikan Solat Jumaat hanyalah 2 orang iaitu Abdullah bin Zakaria (47 tahun) dan Ahmad Zaman Syarie bin Abdullah (23 tahun).

Selain Bujal, penduduk Bukit Teruna dan Batu 9 akan menunaikan Solat Jumaat di Masjid Kampung Payoh yang boleh memuatkan sehingga 600 jemaah.

Itu hanyalah secebis peristiwa berkaitan 'Masjid Bujal', yang turut menjadi catatan sejarah yang panjang antara PAS dan UMNO di Terengganu.

Apa jua konflik yang timbul antara PAS dan UMNO sebelum ini, masing-masing tampil mempertahankan tujuan dan sasaran masing-masing.

Dalam situasi Muafakat Nasional di Terengganu, yang 'keras keng' belum tentu menang dan yang 'mengalah' belum tentu kalah.

Segalanya di tangan rakyat.

Aidil Hatta bin Mustafa
11 Julai 2020
Kuala Terengganu

Post a Comment

0 Comments