Lesen Pusat Urutan, Refleksologi Di Terengganu Diluluskan Kerajaan Terdahulu


Kerajaan Terengganu menafikan mengeluarkan lesen bagi membolehkan rumah urut yang menawarkan khidmat tidak bermoral beroperasi di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, YB Dr Alias Razak berkata, Kerajaan Terengganu tidak membenarkan premis rumah urut tidak bermoral untuk beroperasi di negeri ini.

Menurutnya, dakwaan disebarkan menerusi saluran YouTube serta media sosial Facebook itu mengandungi unsur fitnah terhadap kerajaan Terengganu.

“Kita tidak membenarkan rumah urut maksiat beroperasi di negeri ini. Apa yang ada hanyalah rumah urut tradisional yang menyediakan perkhidmatan urut yang diluluskan kerajaan terdahulu serta beberapa pusat urutan kaki atau refleksologi.

“Terdapat juga perkhidmatan urutan tradisional yang dibenarkan beroperasi seperti urutan kampung yang menggunakan perkhidmatan tukang urut wanita untuk pesakit wanita serta tukang urut lelaki untuk pesakit lelaki.

“Kita tidak pernah membenarkan atau mengeluarkan lesen bagi rumah urut yang menyediakan perkhidmatan tidak bermoral untuk beroperasi di negeri ini," katanya dalam menerusi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) bahawa kerajaan Terengganu membenarkan rumah urut yang menyediakan perkhidmatan tidak bermoral beroperasi di negeri ini.

Perkara itu didedahkan Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Zamir Ghazali dan Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan menerusi video berdurasi 11:07 minit yang disiarkan melalui saluran YouTube pada Rabu lalu.

Post a Comment

0 Comments