Bersatu Terengganu Setuju Tindakan Henti Keahlian Tun Mahathir, Mukhriz


Bersatu mengambil tindakan yang selari dengan perlembagaan kerana mengeluarkan surat terhenti keahlian kepada lima Ahli Parlimennya.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, YB Senator Razali Idris berkata, tindakan lima ahli berkenaan duduk di blok pembangkang ketika perasmian Parlimen sebelum ini, menyalahi peraturan parti seperti yang termaktub dalam fasal 10.2.3 perlembagaan parti.

Katanya dalam laporan Berita Harian semalam, perlembagaan itu wajib dipatuhi semua ahli tanpa mengambil status atau kekananan dalam parti.

“Semua ketua bahagian di Terengganu sependapat dengan tindakan Bersatu pusat mengeluarkan surat terhenti keahlian kepada lima Ahli Parlimen berkenaan.

“Kami berdiri teguh bersama Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui kepemimpinan negara dan parti,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Lima Ahli Parlimen yang terhenti keahlian ialah bekas Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah

Kenyataan Razali juga ditandatangani Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu.

Post a Comment

0 Comments